Friday, May 13, 2011

Namanya Rumaisa'


Namanya Rumaisa, kuniyyahnya Ummu Sulaim binti Salman An-Najjari. Mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Rasululllah. Abang beliau adalah Haram bin Salman, salah seorang daripada 70 qurra’, yang ditipu oleh orang Quraish di Telaga Ma’unah. Kakaknya Ummu Haram binti Salman, isteri kepada Ubadah bin Samit.

            Perkahwinan

Pada zaman Jahiliah, beliau mengahwini Malik Bin Nadhr An-Najjari dan melahirkan Anas. Apabila datangnya Islam, beliau lalu memeluk Islam dan tergolong di antara kalangan Ansar yang terawal memeluk Islam, dan memulakan tugasnya sebagai seorang mukminah dalam menyampaikan Islam. Malangnya, suaminya tidak menerima seruan Islam dan kekal di dalam Jahiliah, malah memarahinya lalu meninggalkannya dan melarikan diri ke Syam.
            Ummu Sulaim berkata: Saya tidak akan berkahwin lagi sehinggalah Anas besar. Tentang ini Anas pernah berkata: Semoga Allah memberi balasan yang baik kepada ibuku, kerana telah menjagaku dengan baik.

            Abu Thalhah telah melamar beliau, dan pada ketika itu dia masih dalam keadaan mushrik. Dia lalu berkata kepada Ummu Sulaim: Aku telah berbincang dengan Anas. Beliau berkata kepada Abu Thalhah: Wahai Abu Thalhah, aku mempunyai keinginan sebagaimana keinginanmu… tetapi engkau adalah seorang lelaki yang kafir, dan aku seorang wanita muslimah, maka aku tidak boleh mengahwinimu. Abu Thalhah lalu bertanya dengan kehairanan: Apakah kau tidak mahukan emas dan perak? (kekayaan).

            Beliau lalu menjawab dangan yakin dan thiqah: Aku tidak menginginkan emas ataupun perak, engkau adalah seorang lelaki yang menyembah sesuatu yang tidak boleh mendengar, tidak boleh melihat, dan tidak boleh memberikan apa-apa manfaat atau mudharat… tidakkah engkau merasa malu wahai Abu Thalhah –menyembah kayu yang asalnya dari bumi dan diukir oleh tukang kayu dari bani fulan? Sekiranya engkau memeluk Islam, maka itu adalah mahar bagiku, aku tidak menginginkan mahar lain.

            Maka Abu Thalhah terus bertemu dengan Rasulullah yang ketika itu sedang duduk dengan sahabat-sahabat baginda lalu mengislamkan beliau.
            Begitulah mulianya seorang wanita Islam yang menetapkan mahar dirinya dengan Islamnya bakal suaminya. Thabit Al-Bannani berkata ketika meriwayatkan hadith mengenai pernikahannya: Kami tidak pernah mendengar mahar semulia itu, beliau redha menjadikan Islam sebagai mahar beliau!

            Ummu Sulaim dan Abu Thalhah hidup dengan kerukunan dan aman, dan mereka dikurniakan seorang anak lelaki yang diberi nama Abu Umair.Allah ingin menguji pasangan tersebut dengan anak tersebut,dan menjadikan Ummu Sulaim sebagai seorang wanita yang mengukir sejarah yang sangat hebat dan mengagumkan. Allah menguji Ummu Sulaim dengan sakitnya anaknya itu dengan sakit yang amat sangat dan membuatkan Abu Thalhah merasa sangat sedih. Suatu ketika, ketika Abu Thalhah tiada di rumah, Allah telah mengambil nyawa Abu Umair. 

Ummu Sulaim lalu memandikannya, mengkafankannya dan menguruskan urusan-urusannya, kemudian beliau lalu mengutuskan Anas untuk memanggil Abu Thalhah, dan berpesan pada Anas agar tidak memberitahu hal kematian anaknya, sehingga beliau sendiri yang memberitahu Abu Thalhah. Abu Thalhah lalu datang dan bertanya: Bagaimana keadaan anak kita? Ummu Sulaim menjawab: Beliau dalam keadaan tenang, dan aku berharap dia dapat berehat.
     
       Abu Thalhah menyangka bahawa anaknya telah sihat, Maka beliau makan malam. Apabila malam tiba, Ummu Sulaim berhias untuk suaminya dengan sesempurna mungkin, lalu bermalam bersama suaminya. Pada paginya setelah Abu Thalhah mandi dan ingin keluar dari rumah, Ummu Sulaim berkata: Wahai Abu Thalhah..apa pandanganmu sekiranya sesuatu kaum meminjamkan kepada jirannya sesuatu, dan kemudiannya memintanya semula, apakah jirannya itu mempunyai hak untuk tidak memulangkannya?Abu Thalhah menjawab: Tidak, kerana barang itu adalah hak tuannya.Ummu Sulaim lalu berkata: Sesungguhnya Allah telah meminjamkan kepada kita anak kita, kemudian mengambilnya semula, maka dia adalah milik Allah. Abu Thalhah berkata: Inna Lillah wa inna ilaihi Raajiun,kamu membiarkan aku sehingga selesai malam tadi kemudian kamu memberitahuku tentang anakku?

            Beliau lalu pergi bertemu dengan Rasulullah, bersembahyang dengan Baginda dan menceritakan kepada baginda. Rasulullah lalu bersabda: Semoga Allah memberkati malam kamu berdua tadi. Allah memperkenankan doa Rasulullah dan hasil dari malam tersebut lahirlah Abdullah bin Abu Thalhah, ayah kepada Ishak bin Abdullah (seorang yang fakih)dan  9 adik beradiknya yang lain, yang kesemuanya adalah orang yang berilmu dan memelihara Al-Quran.

Keibuan

           Kisah ini menggambarkan seorang ibu contoh ketika kehilangan anaknya. Sekarang mari kita lihat kisah beliau ketika kehilangan suaminya. Ketika beliau berpisah dengan Malik bin Nadhr, dan Anas ditinggalkan ketika masih kanak-kanak, Ummu Sulaim tidak mahu mengahwini lelaki lain. Ketika beliau menerima Abu Talhah sebagai suaminya, beliau berkata kepada Anas: Bangun wahai Anas dan kahwinkan aku dengan Abu Thalhah . dan Anas adalah wali beliau.
            
Anas telah hidup bersama-sama dengan Rasulullah dan menjadi khadam baginda selama sepuluh tahun, dan telah merakamkan hidup baginda, kata-kata baginda, perbuatan-perbuatan dan akhlak baginda. Anas berkata mengenai kisah ini: Rasulullah tiba di Madinah dan ketika itu aku berumur 10 tahun, ibuku lalu memegang tanganku, dan membawaku kepada Rasulullah lalu berkata: Wahai Rasulullah… setiap lelaki dan perempuan daripada Ansar telah memberi kepadamu pemberian-pemberian mereka, namun aku tidak mampu untuk memberikan apa-apa padamu kecuali anakku ini, maka ambillah dia sebagai khadam. Maka aku telah berkhidmat kepada Baginda selama 10 tahun, dan baginda tidak pernah memukulku, dan tidak pernah menyakitiku.
            
Muslimah

            Beliau adalah seorang yang sangat cintakan Rasulullah. Anas berkata: Kami bertemu dengan Rasulullah yang ketika itu sedang berqailulah dan berpeluh. Maka Ummu Sulaim mengesat peluh baginda, lalu baginda terjaga dari tidurnya dan berkata: Wahai Ummu Sulaim,.. apa yang kau buat? Ummu Sulaim menjawab: Ini peluhmu, kami akan menjadikannya wangian kerana ia adalah wangian yang terwangi baunya.

            Beliau terlibat bersama-sama Rasulullah dalam peperangan dengan menjalankan tugas berkhidmat kepada para mujahidin, memberi minum, merawat yang sakit, memindahkan yang terbunuh. Dan sekiranya perlu bertukar kepada posisi memegang senjata, beliau akan bertukar menjadi seorang pejuang yang berani dalam menghadapi musuh-musuh Allah.

No comments:

Post a Comment

oUr soNgs(^,~)